Itulah penderitaan yang terpaksa dilalui R. Komathi, 42, setelah dicederakan suaminya sendiri, N. Somoo, 37, di hadapan sebuah kilang elektronik di Taman Klang Jaya, di sini hanya kerana cemburu buta.

Akibatnya, Komathi yang parah kini bertarung nyawa di sebuah hospital di luar Lembah Klang yang dirahsiakan lokasinya oleh pihak berkuasa atas faktor keselamatan.

Video kejadian kejam yang menimpa wanita itu tular dalam media sosial sejak pagi ini dan mendapat perhatian netizen selepas dirakam dan dimuat naik individu tidak dikenali.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, mangsa yang dalam keadaan parah dihantar sendiri oleh suaminya ke hospital berkenaan sebelum suspek menghilangkan diri.

“Mangsa yang parah kini di rawat di zon merah akibat kecederaan di bahagian kepala, pergelangan tangan sebelah kiri, kedua-dua kaki dan belakang badan akibat ditetak. Keadaannya sudah mulai stabil,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, Komathi diseret dan ditetak menggunakan parang panjang oleh suaminya sebelum dibawa lari dengan bantuan rakan suspek yang dikenali sebagai Mogan menggunakan kereta Proton Satria biru bernombor pendaftaran BFV 8384.

Ekoran kejadian itu, anak pe­rempuan mangsa yang berumur 16 tahun telah membuat laporan polis.

Menurut Shamsul Amar, anak mangsa dalam laporannya memaklumkan, suspek bertindak mengheret ibunya dan memaksa mangsa masuk ke dalam kereta sambil menetaknya menggunakan parang panjang.

“Suspek kemudiannya beredar dengan membawa mangsa bersama ke lokasi yang tidak diketahui,” katanya.

Dalam pada itu, Shamsul Amar berkata, pihaknya giat memburu suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.