“Bayi mama tidur atas katil dalam bilik,” jawab wanita berkenaan yang mengalami keguguran cahaya mata pertama pada Jun lalu dalam nada bersahaja ketika disoal pihak polis di mana lokasi bayi berusia lima hari tersebut.

Melihat keadaan wanita itu, pihak polis yang tiba di kediamannya di Alor Hijau Bukit Ta­nah, Seli­sing, Pasir Puteh, kira-kira pukul 10 malam semalam memujuk suspek dan suaminya agar membawa bayi berkenaan ke Ibu pejabat Polis da­erah untuk sesi pengecaman identiti dan siasatan lanjut.

Terdahulu, kira-kira pukul 6.30 petang semalam, wanita berusia 23 tahun itu dan suaminya, 26, bertindak di luar dugaan apabila menculik seorang bayi perem­puan berkenaan dari wad tersebut.

Pasangan terbabit yang berpura-pura sebagai ibu bapa kepada bayi tersebut telah memperdayakan jururawat bertugas termasuk mengikuti semua prosedur discaj bayi dari wad berkenaan.

Difahamkan, beberapa hari sebelum itu, wanita tersebut berlegar-legar di kawasan wad dan berpura-pura seperti baru me­lahirkan bayi termasuk memakai pakaian dan berstoking panjang hingga menarik perhatian pengawal keselamatan bertugas.

Apabila ditegur dia memberi alasan bahawa katil tidak cukup selain memaklumkan telah melahirkan bayi berkenaan pada 8 November lalu.

Kejadian tersebut hanya dise­dari oleh bapa sebenar bayi berke­naan, Mohd. Ihtisyamuddin Mohd. Ashri, 29, selepas mendapati isterinya menangis teresak-esak mengadu tentang kehila­ngan anak kedua mereka kira-kira pukul 9 malam sebelum membuat laporan polis.

Ketua Polis daerah, Deputi Superintenden Suzaimi Mohamad berkata, pihak polis yang mene­rima laporan berhubung kejadian itu telah membentuk satu pasukan bagi mencari bayi tersebut dan berjaya mengesannya berada di dalam jagaan pasangan suami isteri di Alor Hijau Bukit Tanah, Selising.

Beliau kemudian menghubungi Ketua Balai Polis Selising, Sarjan Mejar Ibrahim Isa untuk meminta bantuan bagi memastikan keadaan bayi tersebut selamat.

“Bayi dan pasangan suami isteri tersebut kemudian dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut dan pengesahan identiti.

“Pemeriksaan dengan pihak hospital mendapati wanita tersebut tidak mempunyai sebarang rekod melahirkan bayi pada hari kejadian sebaliknya pernah keguguran pada bulan Jun lalu. Melalui proses pengecaman kami mendapati bayi dalam jagaan mereka itu adalah mangsa culik,” katanya.

Dalam pada itu ujar Suzaimi, pihaknya tidak menolak kemungkinan kedua-dua suspek bertindak sedemikian disebabkan kemurungan selepas kehilangan bayi mereka.

“Kita menahan lelaki itu dan isterinya kira-kira pukul 12 te­ngah malam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik,” katanya.