ZAIMAH MAHMOD
ZAIMAH MAHMOD

Mangsa, Zaimah Mahmod,57, ibu tunggal berasal dari Terengganu yang merupakan ketua kerani di kolej tersebut maut di lokasi kejadian dengan beberapa kesan tikaman di bahagian leher dan badan di sebuah setor pejabat pentadbiran kolej tersebut.

Selepas menikam mangsa, suspek berusia 21 tahun itu meng­hubungi pihaknya polis untuk melaporkan jenayah yang dilakukannya.

Difahamkan, suspek yang masih bujang berasal dari Jenjarom merupakan pembantu makmal dan baharu bekerja tiga bulan itu dipercayai mengalami masalah mental dan pernah menerima rawatan di Hospital Banting.

Ketua Polis daerah, Superintenden Azizan Tukiman berkata, pihaknya menerima panggilan daripada suspek sendiri kira-kira pukul 2.40 petang yang membuat pengakuan telah membunuh rakannya itu.

Menurutnya, ketika membuat panggilan, suspek mengaku telah membunuh dan mencekik mangsa yang bekerja di kolej tersebut sejak tahun 2000 sehingga mati.

“Sejurus tiba di lokasi kejadian, polis mendapati hanya suspek dan mangsa sahaja berada di dalam setor tersebut,” katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, jelas Azizan, pihaknya kini sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kejadian.

“Mayat mangsa akan dihantar ke Hospital Banting untuk proses bedah siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” ujarnya.

Sementara itu, sa­lah seorang guru di kolej vokasional tersebut berkata, dia terkejut dengan kejadian berkenaan kerana sem­pat bertemu suspek kira-kira sejam sebelum insiden pembunuhan berlaku.

Tambahnya, suspek sebelum ini yang dipanggil adik merupakan seorang berperwatakan ceria, namun pada hari ini me­nunjukkan kelainan dan sedikit gelisah.

“Saya ingin meminta kebenaran daripada pengarah untuk keluar berjumpa doktor, namun ketika bertanya kepada suspek di kaunter, dia hanya tunduk dan menggelengkan kepala sahaja.

“Namun, seorang rakannya menyuruh saya masuk ke dalam bilik bagi menyelesaikan urusan. Saya tidak menyangka suspek bertindak begitu,” katanya.