Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Othman Nayan berkata, kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu berlaku ketika mangsa, Fan Suik Moi, 56, dipercayai bertengkar dengan adik lelakinya yang berusia 55 tahun.

“Ketika kejadian terdapat ahli keluarga lain di rumah berkenaan yang menghalang suspek daripada terus menikam mangsa.

“Mangsa yang cedera dihantar oleh jiran ke Hospital Bentong sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh kerana mengalami pendarahan yang serius akibat beberapa tikaman di badannya,” katanya di sini hari ini.

Menurut Othman, mangsa disahkan meninggal dunia di hospital berkenaan pada pukul 6 petang.

Katanya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan siasatan masih giat dilakukan.

“Pada masa ini pihak polis masih menunggu laporan bedah siasat,” katanya. - UTUSAN ONLINE