Tertuduh, Nurul Haslina Abu Hassan, 38, yang merupakan isteri mangsa dan teman lelakinya, Zulasri Shaarani, 42, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan secara bersama di hadapan Majistret Raja Shahril Anuar Raja Baniamin.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh.

Mengikut pertuduhan, kedua-duanya didakwa dengan niat bersama membunuh Kamarulzaman Safri, 38, di kawasan ladang Sungai Rui, Bagan Pasir, Lebuhraya Gerik-Kupang di sini antara pukul 2 hingga 3 petang 7 April lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Azfar Mahmod manakala peguam bela Datuk Naran Singh mewakili Nurul Haslina.

Zulasri pula tidak diwakili peguam bela.

Mahkamah menetapkan 24 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula sementara menunggu laporan asid deoksiribonukleik (DNA), kimia dan balistik.

Mayat Kamarulzaman ditemukan dengan tiga kesan tembakan di Ladang Sungai Rui dekat sini tiga minggu lalu. - UTUSAN ONLINE