Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Shaharuddin Abdullah berkata, wanita berusia 42 tahun itu ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi kira-kira pukul 9 malam pada 14 Februari lalu.

“Modus operandi suspek ialah dengan menyamar sebagai guru dan meminta mangsa untuk mencuba pakaian dengan alasan mangsa mempunyai saiz badan yang sama dengan pelajar atau anaknya.

“Suspek kemudian meminta mangsa untuk masuk ke bilik persalinan untuk mencuba pakaian manakala beg tangan mangsa akan dipegang oleh suspek yang kemudian bertindak melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Menurut Shaharuddin, siasatan lanjut ke atas suspek berjaya menyelesaikan sebanyak 13 kes mencuri beg tangan yang dilaporkan masing-masing sembilan kes pada tahun lalu dan empat kes pada tahun ini.

Jelasnya, suspek juga mempunyai 12 rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan serta Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan kini ditahan reman selama enam hari bermula 15 Februari lalu. - UTUSAN ONLINE