Dalam kejadian kira-kira pukul 4.40 petang itu ketika mangsa bersendiran dalam kedainya, tiga lelaki bertopeng bersenjatakan pistol dan parang melarikan barangan kemas, telefon bimbit dan wang tunai milik mangsa yang keseluruhannya bernilai RM2,500.


 Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Said Ibrahim memberitahu, mangsa, Rohani Soko, 46, didatangi  tiga orang lelaki bertopeng yang bersenjatakan senjata menyerupai pistol dan parang.

"Salah seorang suspek mengacukan pistol dan mengugut akan membunuhnya jika menjerit meminta tolong,"ujarnya ketika dihubungi.

 Mohd Said berkata, suspek kemudiannya meminta mangsa menyerahkan duit serta barangan kemas yang ada dan mangsa yang ketakutan menyuruh suspek mengambil gelang tangannya serta wang tunai yang ada di dalam laci.

"Kesemua suspek kemudiannya melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta jenis Honda Civic bersama dua buah telefon bimbit, seutas gelang tangan dan wang tunai dengan kerugian dianggarkan bernilai lebih RM2,500," katanya.

 Mohd Said berkata, gerakan memburu suspek giat dijalankan, dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan menggunakan senjata.-UTUSAN ONLINE