Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Supe­rintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, kejadian berlaku selepas mangsa berusia 56 tahun itu berkenalan dengan seorang lelaki yang menggunakan nama Mohd. Kadir Ibrahim hujung bulan lepas dan sering berhubung menerusi aplikasi WhatsApp menggunakan nombor +447938458540.

“Selepas beberapa hari ber­kenalan dengan mangsa, suspek memberitahu dia sudah menghantar sepasang kasut sebagai hadiah perkenalan.

“Isnin lalu, mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang wanita yang memper­kenalkan dirinya sebagai Nor Azira Ahmad. Dia memaklumkan barangan berkenaan sudah sampai di Kuala Lumpur dan mangsa perlu membayar caj penghantaran,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Mohd. Wazir, tanpa berfikir panjang, mangsa mema­sukkan wang sebanyak RM3,900 ke nombor akaun yang diberikan wanita berkenaan.

“Bagaimanapun, suspek wa­nita itu memaklumkan di dalam bungkusan hadiah terdapat wang sebanyak AS$300,000 (RM1.16 juta) dan mangsa perlu membayar cukai barang dan perkhidmatan (GST) berjumlah RM7,900.

“Mangsa sekali lagi memasukkan wang ke dalam akuan sama sebelum suspek memintanya membayar lagi cukai berjumlah RM22,350,” katanya.

Tambah Mohd. Wazir, mangsa kemudian memasukkan wang dengan jumlah yang diberikan ke dalam akaun yang sama Selasa lalu sebelum suri rumah ber­kenaan gagal berhubung dengan Mohd. Kadir.

“Menyedari ditipu, mangsa kemudian membuat laporan po­lis di Ibu pejabat Polis Daerah Bera untuk siasatan lanjut. Kita sudah mengambil ketera­ngan mangsa dan mengenal pasti identiti pemilik akaun yang terlibat.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan,” katanya.