Wanita tersebut, Then Phooi Mun, 41, berkata, kejadian berlaku ketika dia bersama rakannya di sebuah kelab malam di sini pada pukul 2.30 pagi Selasa lalu.

Menurutnya, dalam kejadian tersebut, bekas suaminya yang berusia 44 tahun mengheretnya dari dalam kelab malam dan menolaknya masuk ke dalam sebuah kereta lalu memukulnya.

“Sebelum itu dia memujuk saya agar kami berbaik semula namun saya enggan menyebabkan dia marah lalu mengheret saya masuk ke dalam kereta.

“Ketika di dalam kereta, dia memukul saya dengan menumbuk di beberapa bahagian badan dan mencekik leher menyebabkan kepala, kedua-dua belah tangan, badan dan kaki saya cedera,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma MCA Perak di sini hari ini.

Menurutnya, dia telah mendapatkan rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini dan telah membuat laporan polis.

Pasangan itu bercerai pada Disember lalu. - UTUSAN ONLINE