Sebaliknya, Tiffany Li, 31, yang menghadapi tuduhan mendalangi pembunuhan bapa kepada dua anaknya tahun lalu, membuktikan bahawa dia mampu membayar jumlah jaminan paling tinggi dalam sejarah Amerika Syarikat (AS) dengan menggunakan cagaran hartanah bernilai AS$62 juta (RM273.1 juta) dan wang tunai AS$4 juta (RM17.6 juta). Jumlah keseluruhan jaminan itu adalah sebanyak RM290.7 juta.

Di California, nilai hartanah yang digunakan sebagai cagaran mesti bernilai dua kali ganda daripada jumlah jaminan.

Li yang berada di dalam penjara selama kira-kira setahun, datang dari keluarga hartawan yang berasal dari China. Rekod mahkamah menunjukkan sebanyak 15 hartanah telah dicagarkan bagi tujuan jaminan tersebut.

Peguam, Geoff Carr yang mewakili wanita terbabit berkata, hartanah tersebut dimiliki oleh ahli keluarga dan rakan perniagaan ibu Li, yang mendapat laba hasil pelaburan hartanah semasa menetap di China.

Tiga jam selepas hakim memerintahkan pembebasan wanita itu, seorang pengawal peribadi mengiringi Li keluar dari sebuah penjara di San Francisco, lalu terus masuk ke dalam sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) mewah, Cadillac Escalade yang telah sedia menunggunya.

Namun begitu, pembebasan Li pada 6 April lalu selepas membayar jaminan berkenaan telah menyebabkan ahli keluarga dan rakan-rakan mangsa naik berang.

“Seperti ada sesuatu yang tidak kena,” kata Angela Dunn, rakan baik mangsa yang berkongsi rumah dengan lelaki itu dalam tempoh enam bulan sebelum kematiannya. Dunn berkata, ibu mangsa sukar menerima pembebasan Li.

Li berdepan tuduhan membunuh ekoran kematian Keith Green, 27, yang ditemukan dalam keadaan bogel di sebatang jalan tanah merah dengan satu kesan tembakan di leher, dalam jarak 128.7 kilometer dari rumah agam pinggir bandar San Francisco yang pernah didiami pasangan itu bersama dua anak perempuan mereka.

Wanita itu didakwa mengarahkan rakan lelakinya, Kaveh Bayat dan seorang lagi lelaki, Olivier Adella untuk membunuh Green pada Mei tahun lalu dan menurut pihak pendakwaan, perkara itu terjadi setelah Li khuatir akan kehilangan hak penjagaan terhadap kedua-dua anaknya.

Li dan kedua-dua lelaki terbabit ditangkap sejurus selepas mayat Green ditemukan dan ketiga-tiganya dijadualkan dibicarakan pada September ini setelah mereka mengaku tidak bersalah.

Li dan Green didakwa berpisah pada Oktober 2015 selepas Green mengesan hubungan sulit wanita itu dengan Bayat. Li kemudian menghalau Green keluar dari kediaman mewah jutaan dolar yang dihuni mereka.

Dua lelaki yang terbabit dalam kes itu kekal dalam penjara dan tidak memohon jaminan kerana tidak memiliki kewangan yang kukuh seperti wanita itu, kata peguam Li.

Pendakwa Raya Daerah San Mateo, Steve Wagstaffe berkata, dia khuatir Li akan melarikan diri dan melahirkan rasa tidak puas hatinya kerana hakim tidak menetapkan jaminan yang lebih tinggi setelah pihaknya menawarkan jaminan AS$100 juta (RM440.5 juta).

“Jika didapati bersalah, dia berdepan dengan hukuman penjara seumur hidup. Itu sudah cukup untuk menjadi dorongan kepadanya untuk melarikan diri ke negara asalnya, China,” kata Wagstaffe.

Li perlu menyerahkan pasport, memakai alat pengawasan elektronik dan dikenakan tahanan rumah sepanjang diikat jamin.

Carr berkata, pihak-pihak yang membayar jaminan Li percaya wanita itu tidak bersalah dan tidak akan melarikan diri. Jika dia bertindak sebaliknya, mahkamah akan merampas hartanah dan wang tunai tersebut. – AGENSI/Newser