Tertuduh, Nur Amirah Daud Latfi, 29, hanya menangis ketika pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Izuddin Mohd. Shukri.

Mengikut pertuduhan, ibu kepada bayi berusia 46 hari itu didakwa dengan niat mencuri dalam bangunan 95 jenis barangan kelengkapan bayi dan wanita milik pasar raya Aeon Kota Bharu di sini dengan kerugian anggaran RM5,686.95.

Dia dituduh melakukan kesalahan tersebut di pasar raya Aeon, Lembah Sireh di sini kira-kira pukul 5.30 petang pada 21 Disember lalu.

Wanita tersebut didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun dan juga denda manakala bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya tertuduh hendaklah diseksa dengan penjara dan boleh juga dikenakan denda dan sebat.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

Difahamkan, wanita tersebut mempunyai rekod kesalahan sama yang dilakukan di Kajang Selangor. - UTUSAN ONLINE