Mangsa, Tan Aik Chai, 44, juga disahkan merupakan ahli kongsi gelap dan siasatan mendapati motif pembunuhannya adalah kerana hutang berkaitan pengedaran dadah.

Bagaimanapun Pengarah Ja­batan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd. dalam sidang akhbar hari ini enggan mendedahkan sama ada terdapat suspek utama dalam kalangan 14 individu berusia 16 hingga 26 tahun tersebut yang kini direman untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Menurut beliau, pihaknya masih memburu saki-baki individu yang dipercayai terlibat dalam kes tersebut.

Beliau turut menjelaskan kejadian tersebut merupakan kes terpencil melibatkan pergaduhan antara individu itu sendiri.

“Jadi, orang ramai jangan gusar dengan kejadian seperti ini dan yakin keadaan di negeri ini sentiasa terkawal,” katanya di Ibu pejabat Polis Kontinjen negeri di sini.



Sementara itu, ketika ditanya adakah mangsa mempunyai banyak rekod jenayah, Wan Ahmad Najmuddin memberitahu, perkara itu masih dalam siasatan pihaknya.

Bagaimanapun menjawab me­ngenai kereta jenis BMW 520i yang digunakan dalam kes tersebut, beliau berkata, polis masih belum menemukan kenderaan terbabit yang menggunakan nom­bor pendaftaran milik ken­deraan lain.

“Sehingga kini lapan individu termasuk saksi yang berada di stesen minyak berkenaan telah direkod keterangan. Tiga pasukan bantuan dari Bukit Aman diarahkan membantu pasukan khas dalam menjalankan soal siasat terhadap kesemua tangkapan dan saksi,” tambahnya.

Sementara itu di Mahkamah Majistret di sini, seramai lapan individu termasuk seorang yang penahanannya diumumkan polis hari ini direman selama seminggu untuk membantu siasatan kes pembunuhan tersebut.

Perintah reman terhadap lapan individu terbabit termasuk tiga wanita dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret di sini, Mohd. Farid Nazzrin Ahmad berkuat kuasa hari ini.

Enam lagi individu termasuk seorang wanita telah direman selama tujuh hari bermula semalam.

Dalam kejadian pukul 7.30 malam itu, Aik Chai mati di tempat kejadian selepas ditikam, dilanggar dan digilis kereta BMW 520i yang dinaiki empat lelaki ketika mengisi angin keretanya di stesen itu bersama seorang wanita warga Vietnam.

Mangsa yang tinggal di Taman Perling di sini ditikam sebelum dilanggar dan digilis kereta yang dinaiki suspek sebelum beredar dan Aik Chai mati di tempat kejadian.