Timbalan Ketua Polis Daerah, Supritendan Md. Noor Aehwan Mohammad berkata, wanita terbabit dipercayai disamun berikutan terdapat kesan tingkap bilik belakang yang telah dipecahkan.

“Kejadian berkenaan disedari oleh jiran yang ingin bertanya makanan untuk dibeli kepada mangsa pada pukul 8.30 pagi. Jiran tersebut ada memanggil tetapi tiada sahutan daripada mangsa.

“Jiran yang mempunyai kunci pendua terus membuka pintu rumah dan menemukan mangsa yang tidak bernyawa dalam keadaan terlentang di bilik utama,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

BAHAGIAN tingkat bilik belakang rumah mangsa yang dipecahkan oleh suspek sebelum melakukan samun. -

BAHAGIAN tingkat bilik belakang rumah mangsa yang dipecahkan oleh suspek sebelum melakukan samun. - UTUSAN ONLINE

Menurut Md. Noor Aehwan, selepas menemukan mangsa, jiran berkenaan terus menghubungi pihak polis dan cucu mangsa yang tinggal di Kajang, Selangor bagi memaklumkan kejadian itu.

“Berdasarkan siasatan awal, mangsa dipercayai disamun pada pukul 11.30 hingga 12.30 tengah malam tadi. Mangsa cedera dibahagian muka selain lebam di beberapa anggota badan.

“Unit forensik masih menjalankan siasatan, kita tunggu hasil bedah siasat esok. Setakat ini kes akan disiasat mengikut di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun,” katanya.

Dalam pada itu, cucu mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Yew berkata, beliau datang melawat neneknya yang tinggal seorang diri sebulan sekali untuk menyerahkan wang belanja.

“Nenek ada dua orang anak, seorang tinggal di Sabah dan seorang lagi di Singapura. Kali terakhir saya datang melawat ialah pada minggu lalu untuk menyerahkan wang belanja” katanya.

Dalam pada itu, menurut sumber, mangsa dipercayai ada menyimpan wang tunai dalam jumlah yang banyak kerana wang belanja yang diberikan kepadanya ialah sebanyak RM1,000 sebulan.

“Dia (mangsa) bila membeli makanan atau barang memang akan keluarkan duit dalam jumlah yang banyak. Mungkin perkara itu menyebabkan ada pihak yang mahu menyamun mangsa,” katanya. - UTUSAN ONLINE