Video ihsan PDRM

Dalam kejadian pada pukul 11.50 pagi itu, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan wanita berusia 29 tahun berkenaan cuba menangkap suspek yang mahu melarikan diri sebaik sahaja menyamun telefon bimbitnya, dengan motosikal jenis SYM.

Mangsa menarik baju suspek sehingga menyebabkan lelaki itu gagal mengawal motosikal lalu melanggar cermin dan tiang kedai sebelum terjatuh ke atas jalan.

Ketua Polis daerah, Superintenden Ahmad Nasir Jaafar berkata, suspek cuba bangun dan terus mengambil parangnya lalu mengacukan ke arah wanita itu sebelum melarikan diri.

"Mangsa tidak dapat berbuat apa-apa kerana bimbang dicederakan sebelum membuat laporan di Balai Polis Sungai Kob,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Ahmad Nasir, suspek pada mulanya berpura-pura sebagai pelanggan dengan meminta mangsa membaiki telefon bimbitnya yang didakwa rosak sebelum cuba menyamunnya.

“Mangsa yang sedang memeriksa telefon bimbit itu terkejut apabila suspek tiba-tiba mengeluarkan sebilah parang dan memintanya mengeluarkan wang.

"Suspek juga merampas semula telefon bimbitnya dan turut mengambil telefon bimbit mangsa sebelum melarikan diri. Ketika itulah mangsa cuba menangkapnya dan berlaku sedikit pergelutan sehingga suspek bertindak melibas parang, namun tidak kena pada mangsa," katanya.

Ujar beliau, polis berjaya menahan suspek yang berusia 23 tahun di tepi jalan berdekatan kawasan perniagaan Taman Mutiara, Sungai Kob, Karangan di sini pada pukul 5.15 petang tadi.

"Siasatan mendapati nombor pendaftaran motosikal yang digunakan suspek adalah palsu dan berdasarkan pengakuan awal, suspek mengaku terlibat dalam cubaan samun itu," jelasnya.

Katanya lagi, suspek yang memiliki dua rekod jenayah lampau berkaitan kes samun dan curi kini ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan. - UTUSAN ONLINE