Tertuduh yang hanya dikenali sebagai Ika, 21, mengaku salah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim, Collin Lawrence Sequerah.

Collin kemudian menjatuhkan hukuman empat tahun penjara terhadap Ika bermula dari tarikh ditahan pada September tahun lalu.

Mengikut kertas pertuduhan, Ika didakwa menyembunyikan atau melindungi lima migran yang senegara dengannya.

Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah rumah di Jalan Abdul Samad 1, di sini kira-kira pukul 4 petang, 22 September tahun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 26(H) Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. - UTUSAN ONLINE