Perintah reman ke atas suspek berusia 38 tahun itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret Kuala Terengganu, Wan Aziantie Wan Ab. Karim @ Isa di Mahkamah Majistret di sini pagi ini.

Suspek lelaki yang sudah berkahwin dan mempunyai tiga anak itu dikatakan membuat tuntutan palsu kepada pejabat daerah dan tanah bagi perbelanjaan 32 program yang dijalankan di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan.

Bagaimanapun, program itu dipercayai tidak dilaksanakan.

Suspek yang juga merupakan pengerusi NGO belia peringkat cawangan ditahan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Terengganu ketika hadir memberi keterangan kira-kira pukul 5.30 petang, semalam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun. - UTUSAN ONLINE