Namun, itulah hakikatnya apabila kenderaan mewah dipercayai dicuri sekumpulan suspek yang ditumpaskan polis daerah ini dijual kepada pembeli yang ‘teringin’ memiliki kereta berkenaan.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Azhan Abdul Halim berkata, polis berjaya memberkas tujuh suspek termasuk dua wanita yang berusia lingkungan 24 hingga 38 tahun dalam beberapa siri tangkapan sejak 21 Oktober lalu hingga semalam.

“Kesemua mereka yang sebahagiannya turut memiliki beberapa rekod lampau termasuk kes yang masih dibicarakan di mahkamah dicekup di daerah ini dan Johor Bahru, kita percaya dapat menyelesaikan beberapa kes yang dilaporkan membabitkan kumpulan ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini sebentar tadi.

Selain Toyota Vellfire berkenaan, polis turut menemukan semula masing-masing sebuah Toyota Fortuner, Honda CR-V, Honda HR-V dan Honda Accord yang dianggarkan bernilai RM800,000.

Tambah Azhan, kumpulan terbabit yang menyasarkan kereta mewah terutamanya menggunakan sistem ‘push start button’ dipercayai hanya memerlukan kira-kira tiga minit untuk membuka dan menghidupkan kenderaan dicuri.

Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan. - UTUSAN ONLINE