Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali berkata, semasa anggota polis sedang melakukan rondaan di kawasan hutan tersebut pasukan polis telah ternampak kelibat tiga lelaki berpakaian serba hitam dalam keadaan mencurigakan.

“Semasa hendak diperiksa mereka cuba melibas-libaskan parang ke arah anggota polis menyebabkan polis terpaksa melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri, ketiga-tiga penjenayah mati ditempat kejadian,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Abdul Aziz memberitahu, pihak polis turut menemukan peralatan untuk melakukan kejadian pecah rumah dan tiga bilah parang.

“Siasatan awal mendapati kumpulan tersebut dipercayai terlibat dalam enam kes samun di Bandar Baru Salak Tinggi dan Dengkil. Terdapat kemungkinan kumpulan ini turut melakukan jenayah di daerah lain,” jelasnya.

Ujar beliau, ketiga-tiga suspek yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan suntikan BCG pada badan itu dipercayai warga asing. - UTUSAN ONLINE