Perintah sambung reman bermula esok itu dikeluarkan Majistret Siti Khariah Abdul Razak ke atas suspek berusia 19 tahun terbabit selepas permohonan dikemukakan pihak polis hari ini.

Sebelum ini suspek direman tujuh hari bermula Jumaat lalu yang berakhir hari ini.

Dalam kejadian 24 Mei lalu, seorang pelajar perempuan kolej tersebut, Nur Alya Damia Hairi, 19, ditemukan mati dengan kesan cekik pada leher di tepi jalan di Lorong 4, Taman PD Permata di sini pada pukul 10.30 malam.

Mangsa dikatakan bertemu bekas teman lelakinya di dalam sebuah kereta Proton Wira dan berlaku pertengkaran sehingga mangsa dicekik sebelum mayatnya ditinggalkan di lokasi terbabit.

Susulan kejadian itu, polis menahan suspek di sebuah rumah di Taman Selasih di sini kira-kira 15 minit selepas penemuan mayat mangsa. - UTUSAN ONLINE