Dalam kejadian awal pagi ini, seorang penjenayah telah memasuki Masjid Badariah Batu 12 Kapar dan bertindak memecahkan tabung di masjid berkenaan.

Menurut siak masjid berkenaan, Dzulkefli Arshad, kejadian disedari kira-kira pukul 5.30 pagi ini ketika jemaah datang ke masjid untuk menunaikan solat subuh.

Jelasnya, ini merupakan kejadian pertama pada tahun ini dan jumlah kerugian bagaimanapun tidak dapat dipastikan.

MASJID Badariah Batu 12 Kapar.– UTUSAN ONLINE

MASJID Badariah Batu 12 Kapar.– UTUSAN ONLINE

“Kita tak dapat memastikan jumlah duit tabung yang hilang. Derma selepas solat Jumaat telah dikumpulkan dan yang ada derma selepas itu” katanya ketika ditemui di masjid berkenaan hari ini.

Dzulkifli berkata, kejadian tersebut bukanlah yang pertama kerana pada tahun lalu sebanyak tiga kes pecah tabung masjid direkodkan.

“Kejadian terakhir tahun lalu pada Oktober di mana pencuri ‘memancing’ duit menggunakan lidi getah.

“Pada tahun sebelumnya, seorang pencuri berjaya diberkas jemaah ketika memecah tabung masjid dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau memberitahu, laporan polis berhubung kejadian pagi ini telah dibuat oleh nazir masjid, Zulkifli Ayob di balai polis Kapar kira-kira pukul 8.30 pagi.

Sementara itu, rakaman CCTV masjid menunjukkan perlakuan seorang lelaki sedang memecah tabung masjid berkenaan.

Bagaimanapun, wajah sebenar suspek tidak dapat dilihat dengan jelas kerana ditutup menggunakan sehelai kain. - UTUSAN ONLINE