Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret [email protected] Acho sehingga 23 Mei ini.

Perintah reman dikeluarkan mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bagi menjalankan siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Semalam polis berjaya mengesan dan menangkap suspek itu di tingkat bawah Cheras Sentral, Kuala Lumpur.

Sementara itu, dua lagi suspek yang terdiri daripada wanita Nigeria dan lelaki warga Pakistan juga telah direman selama tujuh hari bermula semalam membabitkan kes sama.

Misteri kehilangan Siti Kharina, 40, sejak 8 Mei lalu akhirnya terjawab apabila dia ditemukan mati di sebuah bilik di sebuah kondominium di Cyberjaya pada petang kelmarin.

Ibu kepada tiga anak itu ditemukan kira-kira pukul 2.30 petang dalam keadaan terlentang di atas lantai dan tidak lengkap berpakaian selain terdapat kesan kelar di bahagian dada, leher dan kepala.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin dalam sidang akhbar semalam berkata, penemuan ibu kepada tiga anak tersebut terbongkar apabila seorang juruteknik datang untuk membaiki mesin basuh tetapi pintu kondominium tidak dapat dibuka.

Menurut Noor Azam, juruteknik itu telah memanggil pemilik rumah tersebut sebelum ternampak darah mengalir keluar daripada salah sebuah pintu bilik kondominium itu.

Siasatan mendapati mangsa telah meninggal dunia lebih daripada empat hari di kondominium yang disewanya.

Siti Kharina dilaporkan hilang pada 8 Mei lalu dengan dia kali terakhir menghubungi suami serta anaknya untuk memaklumkan kepulangannya bagi mengecat rumah sebagai persiapan menjelang Aidilfitri pada hari yang sama. - UTUSAN ONLINE