Video Oleh ABD. RAZAK AID

Itu gambaran realiti sebenar suspek yang sanggup mende­ra anaknya, Nur Aina Nabihah Muhammad Abdullah, 9, yang meninggal dunia malam kelmarin dengan kecederaan parah pada organ dalaman tubuh kecil kanak-kanak itu.

Berdasarkan keputusan bedah siasat oleh Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban, mangsa mengalami kecederaan parah pada organ dalaman seperti buah pinggang putus, hati koyak, lebam dalaman pada usus serta patah tulang rusuk kiri dan kanan dipercayai dipukul dengan objek tumpul.

Beberapa jiran suspek yang ditemui hari ini mendakwa me­reka tidak menyangka suspek adalah seorang yang sanggup melakukan keganasan terhadap anaknya sendiri.

Mereka yang enggan dikenali mendakwa, suspek mempamerkan imej orang baik ketika di luar rumah malah ada jiran yang pernah mendengar lelaki berusia 38 tahun itu mengaji al-Quran pada waktu malam.

“Kami jiran-jiran tidak me­nyangka dia berkelakuan seperti itu kerana di luar rumah dia nampak baik dan bercakap seperti biasa.

“Kami sering dengar dia memarahi anaknya tetapi mangsa tidak pernah mengadu kepada sesiapa mengenai kelakuan ayah­nya. Jika ditanya dia hanya kata terjatuh di rumah,” kata seorang jiran.Di sebalik perbuatannya yang dianggap kejam itu, suspek kelihatan tidak menyesal dengan perbuatan itu malah mendakwa ia hanya bertujuan mendidik anaknya.

“Sumpah! Saya tidak dera dia, saya nak ajar dia,” katanya kepada sekumpulan anggota polis di pekarangan rumah sewanya sehingga dapat didengari wartawan yang membuat liputan di lokasi itu.

Suspek dan isterinya yang ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes Nur Aina Nabihah dibawa ke rumah sewa itu dekat ini oleh polis tengah hari ini.

Sementara itu, polis sedang menjalankan siasatan terperinci kes tersebut termasuk dakwaan bahawa mangsa dipukul dengan tali pinggang yang biasa digunakan oleh tentera, ditendang dan dipijak hingga terkencing.

Mangsa juga pernah dipukul menggunakan sebuah bangku kecil plastik.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Zainudin Ahmad berkata, perbuatan itu terdedah dalam siasatan awal polis terhadap bapa kandung dan ibu tiri Nur Aina Nabihah yang kini ditahan reman selama tujuh hari mulai hari ini.

“Berdasarkan pengakuan awal suspek, pada malam kejadian dia bertindak memukul anaknya dengan tali pinggang yang biasa digunakan oleh tentera, menendang anaknya dan memijaknya hingga terkencing.

“Suspek juga membuat pe­nga­kuan awal pernah memukul si mati menggunakan sebuah bangku plastik kecil,” katanya di sini hari ini.