Ketujuh-tujuh suspek memakai penutup mulut dibawa oleh pegawai dan anggota polis dengan menaiki sebuah kereta pacuan empat roda ke lokasi kejadian pada jam 2.45 petang melalui surau belakang madrasah bersebelahan lokasi kejadian.

Kesemua suspek kemudian dibawa masuk ke dalam pusat tahfiz sebelum menuju ke perkarangan lokasi kejadian termasuk bangunan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menunjukkan mengenai situasi yang sebenarnya berlaku pada hari kejadian 14 September lalu.

Selepas berada di sana selama lebih kurang 15 minit, suspek kemudian dibawa mengelilingi Taman Tasik Datuk Keramat untuk meninjau lokasi yang dipercayai tempat mereka bertemu.

Pihak polis turut memperketatkan kawalan di kawasan persekitaran bagi mengelakkan wajah suspek dirakam pihak media dan orang awam.

Dalam perkembangan berkaitan, orang ramai terus membanjiri pekarangan pusat tahfiz di Jalan Keramat Hujung itu bagi menyampaikan sumbangan kepada pengurusan Darul Quran Ittifaqiyah, selain ingin melihat sendiri lokasi kejadian.

21 pelajar dan dua ustaz maut selepas terperangkap di dalam kebakaran pusat tahfiz terbabit pada 5.15 pagi pada 15 September.-UTUSAN ONLINE-UTUSAN ONLINE