Video oleh FARABI AL JABRI

Barangan rampasan tersebut ditemukan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapa­ngan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas memeriksa konsainmen mencurigakan selain terhidu bau busuk dari 10 buah kotak pada kira-kira pukul 8 malam.

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) yang kemudiannya dipanggil melakukan pemeriksaan di Pos Penerbangan Cawangan Eksport Bangunan Terminal Kargo KLIA mendapati, 50 sumbu badak dan sembilan set bangkai hidupan liar dipercayai karnivor dimuatkan dalam kotak tersebut.

Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, siasatan awal mendapati pemilik konsainmen telah menggunakan dokumen palsu bagi membolehkan barangan tersebut dihantar ke Hanoi, Vietnam.

“Pihak kami tidak dapat me­ngesan siapa pemiliknya, cu­ma kita tahu barangan tersebut tiba ke negara ini sebelum dibawa ke Vietnam untuk pasaran gelap bagi tujuan perubatan.

“Pada masa sama, kita akan menjalankan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengenal pasti asal usul kesemua hidupan liar itu sebelum proses penyerahan semula dilakukan ke negara berkaitan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Perhilitan di sini hari ini.

Berdasarkan harga pasaran ge­lap, Abdul Kadir menjelaskan, nilai bagi setiap kilo sumbu badak yang dipercayai menjadi penawar untuk pesakit kanser dianggarkan RM100,000.

Mengulas mengenai siasatan kes tersebut, beliau menjelaskan, ejen yang menguruskan konsainmen ini telah disiasat bagi mengenal pasti pemiliknya.

“Kesemua konsainmen ini te­lah diikrarkan sebagai bara­ngan perhiasan, namun siasatan mengenainya masih dijalankan dengan bantuan pihak Interpol kerana melibatkan jenayah rentas sempadan.

“Kes ini disiasat mengikut Akta Perdagangan Antarabangsa Me­ngenai Spesies Terancam 2008 (Akta 686) kerana mengeksport tanpa permit,” jelasnya.