Kedua-dua tertuduh yang juga pengusaha pusat tahfiz berkenaan didakwa melakukan kesalahan tersebut di Ribath Tahfiz Asyirazi di Tok Sira, Jalan Tengku Muhammad di sini.

Tertuduh, Uji Che Mat, 43, dan suaminya, Mohd. Zamzuri Abdul Manap, 42, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan hakim, Dazuki Ali.

Uji berdepan dengan tujuh pertuduhan melakukan penganiayaan terhadap lima kanak-kanak di pusat tahfiz berkenaan manakala Mohd. Zamzuri lima pertuduhan.

Kedua-dua pasangan suami isteri berkenaan didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama dan dibaca bersama dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farahah Mohd. Nazari dan kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim menetapkan kedua-dua tertuduh membayar jaminan yang keseluruhannya berjumlah RM45,000 dan 4 Oktober sebagai tarikh sebutan semula kes itu. - UTUSAN ONLINE