Video oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN

Menurut sumber, lima pegawai SPRM menggeledah rumah Hamid di Putatan bermula pukul 2.30 petang hingga 6 petang sebelum membawa beliau kembali ke pejabat SPRM di sini bersama dokumen yang ditemukan untuk soal siasat.

Terdahulu, Hamid, 52, hadir ke pejabat suruhanjaya itu, di sini kira-kira pukul 10 pagi untuk diambil keterangan sebelum ditahan kira-kira pukul 9.30 malam bagi membantu siasatan penyelewengan dana kebajikan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dalam tempoh 2009 hingga 2015.

Hamid dipercayai merupakan antara individu yang menerima kontrak daripada KKLW dalam tempoh itu iaitu semasa Mohd. Shafie menerajui KKLW.

Minggu lalu, SPRM yang membuka kertas siasatan terhadap KKLW mendapati daripada RM7.5 bilion peruntukan kerajaan yang disalurkan antara 2009 hingga 2015, sebanyak RM1.5 bilion telah diselewengkan.

Berikutan itu, lebih 10 akaun mengandungi RM179 juta telah dibekukan dan tiga orang suspek ditangkap Khamis lalu bagi membantu siasatan iaitu Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Peter Anthony, 46; bekas Timbalan Setiausaha Bahagian KKLW, Norhartarty Rahmat, 40; dan ahli perniagaan, Yu Sin Kong, 52.

Semalam, tiga lagi individu ditahan membabitkan Ketua Wira Warisan, Datuk Mohd. Azis Jamman; Ketua Pemuda UMNO Tenom, Jamawi Jaafar dan Ketua Pemuda UMNO Tawau, Ariffin Kassim bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Mahkamah Majistret Kota Kinabalu hari ini mengeluarkan perintah reman selama lima hari terhadap tiga Ketua Pemuda itu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 17a Akta SPRM 2009.

Dalam pada itu, Majistret Cindy Mc Juce Balitus turut membenarkan SPRM menyambung tempoh reman selama tiga hari terhadap Peter dan empat hari untuk Sin Kong selepas tahanan reman ke­dua-duanya yang bermula Jumaat lalu berakhir hari ini.

Norhartaty pula akan disambung reman esok di Mahkamah Majistret Putrajaya berikutan pe­rintah tahanan reman beliau ber­akhir esok.