Menurut sumber SPRM, Adam ditahan sebaik sahaja dia selesai memberikan keterangan di Ibu pejabat suruhanjaya itu di sini petang ini.

“Pihak SPRM akan memohon kepada Mahkamah Majistret esok untuk mendapatkan perintah tahanan reman ke atas Adam bagi membantu siasatan kes tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Terdahulu, Adam sekali lagi dipanggil SPRM hari ini untuk disiasat atas dakwaan memiliki kekayaan yang luar biasa.

Beliau memakai baju batik berwarna jingga tiba pada pukul 2.30 petang dengan menaiki kereta jenis Audi berwarna hitam kemudian dilihat masuk pintu utama Ibu Pejabat SPRM.


Video oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR

Pada 10 Februari lalu, Adam dipanggil SPRM untuk kali pertama bagi merakam percakapan berhubung dakwaan tersebut.

Desas-desas mengenai keka­yaan luar biasa Adam mula timbul selepas Pengerusi Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Selangor, Datuk Jamal Md. Yunos mendedahkan aset lelaki tersebut yang didakwa memiliki sebuah banglo mewah ‘ala Disneyland’ bernilai kira-kira RM4 juta di Ampang.

Adam dalam usia begitu muda dipercayai bukan sahaja memiliki banglo mewah tetapi mempunyai beberapa buah rumah di tempat lain sedangkan sebelum terlibat dalam kancah politik, dia hanya menetap di kawasan setinggan Kampung Pinggir Lembah Jaya.

Ekoran itu, UMNO Bahagian Ampang membuat laporan kepada SPRM supaya siasatan segera dilakukan terhadap lelaki tersebut.