Difahamkan, kesemua dokumen tersebut dirampas bagi membantu siasatan dakwaan salah guna kuasa, ketirisan kontrak termasuk dakwaan run­dingan terus yang diperkatakan sebelum ini, kerugian di pihak kerajaan dan penipuan kepada orang awam.

Sebanyak empat pegawai SPRM hadir bersama sebuah lori dan rampasan tersebut dilakukan sejak pukul 12 tengah hari dan berakhir kira-kira pukul 7 malam.

Selain di ibu pejabat SSM, SPRM turut menyerbu tiga lagi syarikat di ibu negara yang dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan dakwaan skandal tersebut.

Menurut sumber, dokumen yang dirampas melibatkan perjanjian sejak 2009 hingga tahun lalu.

“Semua dokumen yang dirampas dipercayai melibatkan projek daripada lebih 10 buah syarikat.

“Setakat ini hanya dokumen sahaja yang dirampas untuk tujuan siasatan. SPRM akan memanggil 30 peratus kakitangan SSM termasuk ketua untuk diambil keterangan,” katanya.

Jelas sumber, semua dokumen yang dirampas akan dibawa ke Ibu pejabat SPRM Putrajaya untuk tindakan selanjutnya.

Terdahulu, sebuah portal melaporkan Pertubuhan Kebajikan Bersatu Selangor (PKBS) menggesa pihak berkuasa supaya menyiasat projek-projek SSM berimpak tinggi yang membabitkan rundingan terus bagi sistem utama SSM kerana disyaki berunsur rasuah serta salah guna kuasa.

Jelas portal itu, gesaan tersebut dibuat susulan pendedahan oleh Ahli Parlimen Kinabatangan, Bung Moktar Radin di Dewan Rakyat pada 12 November lalu berkaitan projek berkenaan yang pada awalnya dibuat secara tender terbuka tetapi diberikan kepada syarikat yang berada di tangga keenam.