Ketiga-tiga suspek lelaki berkenaan direman sehingga 23 Mac ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan skandal projek melibatkan SSM dianggarkan bernilai RM30 juta.

Perintah reman terhadap suspek dikeluarkan Majistret Ahmad Asyraf Mohammad Kamal selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Terdahulu suspek yang berumur antara 44 hingga 56 tahun itu dibawa ke Mahkamah Majistret di sini bagi mendapatkan perintah reman pada pukul 9.20 pagi dengan tangan bergari.

Semalam, ketiga-tiga suspek ditahan kira-kira pukul 11 pagi di pejabat dan rumah mereka di sekitar Petaling Jaya, Selangor serta ibu negara.

Menurut sumber, pegawai kanan berpangkat pengarah itu dikatakan telah bersubahat dengan dua syarikat IT terbabit bagi mendapatkan kelulusan menawarkan perkhidmatan perisian sijil diakui sah tanpa mengikut peraturan di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Ujarnya, dua pengarah syarikat terbabit pula dipercayai telah mengaut keuntungan dengan melakukan perkhidmatan perisian tanpa mengikut peraturan SKMM.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009, SPRM tidak menolak kemungkinan terdapat satu lagi syarikat yang turut terlibat melakukan kegiatan itu,” katanya. - UTUSAN ONLINE