Operasi membabitkan lapan serbuan yang bermula 9 pagi hingga 11.30 pagi itu turut membawa penahanan 11 individu terma­suk dua wanita berusia antara 29 hingga 63 tahun selain rampasan aset se­perti barang kemas, pelbagai mata wang asing, jam tangan dan kenderaan mewah bernilai hampir RM2.2 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Je­nayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, makmal proses dadah itu di kesan beroperasi di Taman Desa Tebrau manakala tempat pembungkusan sindiket terbabit dijalankan di Taman JP Perdana.

Menurutnya, enam lokasi serbuan turut melibatkan rumah kediaman di Taman Kulai, Bandar Baru Permas Jaya, Taman Harmonium, Taman Megah Ria, Kawasan Perindustrian Kulai dan Bandar Pinggiran Subang di Shah Alam, Selangor.


Video oleh RAJA JAAFAR ALI

“Antara dadah dirampas termasuk 7,460 pil Erimin 5, 312 pil ekstasi, 90 gram ketulan mampat dipercayai ganja serta 102 kilogram serbuk, 42,960 kapsul dan 340 pil dipercayai dadah bernilai RM3 juta.

“Kita turut menyita 11 buah kereta bernilai RM2.1 juta, bara­ngan kemas (RM124,320), jam tangan mewah (RM214,000) dan pelbagai mata wang tunai berjumlah RM55,346,” kata­nya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Mohd. Mokhtar berkata, 11 buah kenderaan mewah yang dirampas itu ialah dua Toyota Vellfire, Lamborghini, Toyota Harrier, Nissan Fairlady, Honda Accord, Ford Ranger, Toyota Land Cruiser, Mitsubishi Triton, Toyota Vios dan Proton Wira.

Jelasnya, antara 11 suspek ditahan, tiga mempunyai rekod jenayah lampau dan seorang daripada mereka amat dikehendaki polis dan dua didapati positif dadah.

“Hasil siasatan awal juga mendapati sindiket tersebut baru beroperasi beberapa bulan dan dadah yang diproses itu disyaki untuk diedarkan ke Singapura dan Indonesia selain pasaran tempatan.

“Pelbagai jenis dadah yang dirampas itu kita percaya boleh menampung bekalan kepada lebih 150,000 orang,” ujarnya yang turut memaklumkan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tambahnya, operasi tersebut dijalankan oleh JSJN Johor dan Bukit Aman serta Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING).

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, sepanjang minggu pertama tahun ini, polis menahan seramai 3,050 individu berkaitan penyalahgunaan dadah melibatkan dadah bernilai RM4.64 juta dalam 2,794 serbuan seluruh negara.