Aktiviti sindiket tersebut yang didalangi dua rakyat tempatan, seorang lelaki dan wanita, kedua-duanya berusia 52 tahun, bagaimanapun berjaya dibongkar selepas Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menahan kedua-duanya terma­suk 11 individu lain dalam dua operasi berasingan di Tawau dan Sandakan.

Ketua Pengarah JPN, Datuk Mohammad Razin Abdullah berkata, wanita tersebut ditahan kira-kira pukul 2 pagi ini di rumahnya di sini dalam serbuan oleh sepasukan tujuh pegawai penyiasat JPN manakala lelaki tersebut bersama suspek lain yang merupakan warga asing ditahan dalam operasi di Tawau pada Jumaat lalu.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati kesemua dokumen palsu itu dijual kepada warga asing dari Filipina, Indonesia serta Pakistan yang sanggup memilikinya pada harga RM60,000 untuk digunakan sebagai dokumen perjalanan ke Semenanjung bagi mencari pekerjaan.

“Melalui dua serbuan di rumah kedua-dua suspek, pasukan penyiasat menemukan sejumlah dokumen palsu seperti kad pengenalan, sijil kelahiran dan borang-borang palsu untuk memohon dokumen berkenaan.

“Turut ditemukan adalah beberapa telefon bimbit dan mesin pencetak sijil kelahiran serta empat buku akaun dari bank berlainan yang merekodkan beberapa transaksi wang berjumlah antara RM30,000 dan RM60,000 setiap satu,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat JPN di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah JPN Sabah, Datuk Ismail Ahmad dan Pengarah Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JPN, Mohamad Yusri Hashim.

Mohammad Razin berkata, Abdurasid telah didakwa di Mahkamah Majistret Tawau di bawah Peraturan 25(1)(b) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan) 2007 semalam manakala wanita itu direman selama tiga hari bermula esok.

Menurutnya, 11 individu lain yang ditahan adalah atas beberapa kesalahan iaitu tujuh daripadanya menggunakan kad pengenalan palsu manakala empat lagi kerana menjual sijil kelahiran kepada ejen-ejen berkenaan.

“Dua ejen ini merupakan penggerak kepada sindiket tersebut dengan modus operandi adalah berjalan-jalan di kawasan tumpuan warga asing untuk mencari sesiapa sahaja yang sanggup membayar untuk memiliki dokumen palsu itu,” jelasnya.

Tambahnya ejen wanita itu dan 11 suspek yang lain disiasat mengikut Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007).