Kegiatan sindiket berkenaan berjaya dilumpuhkan menerusi kerjasama polis dari tiga negara selepas enam serbuan dilakukan di sekitar Kuala Lumpur dan ne­geri ini Sabtu lalu.

Serbuan itu adalah kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan Pasukan Khas Taktikal dan Risikan Narkotik (STING) yang berkongsi maklumat de­ngan Polis Biro Narkotik (PNSB) di Thailand serta Pusat Biro Narkotik di Singapura.

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, dalam serbuan bermula pukul 10.15 malam itu, tujuh individu termasuk dua wanita berusia lingkungan 26 hingga 52 tahun yang dipercayai ahli sindiket terbabit diberkas.

“Dalam serbuan itu, sebanyak 8.2 kilogram (kg) dadah disyaki syabu, 1.5 kg (heroin), 605 gram (ketamin), 2,205 (pil khayal), 1,101 (pil erimin 5) serta 3,950 pil disyaki ekstasi dirampas.

“Polis juga menyita wang tunai bernilai RM144,756, pelbagai jenis barang kemas serta tujuh kereta mewah jenis Audi A4, BMW 528i, BMW 6 Series, Honda Accord, Kia Optima, Toyota Estima dan dua Honda Civic yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM915,553,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang turut hadiri Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Asisten Komisioner Lukas Aket di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini hari ini.

Menurut Mohd. Kamarudin, hasil maklumat awal mendapati bekalan dadah yang dirampas itu disimpan di sebuah premis yang dijadikan stor simpanan oleh sindiket tersebut untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.

“Siasatan terperinci masih dijalankan untuk mendapatkan punca bekalan dadah ini serta di mana makmal pembuatannya selain berapa lama ia telah menjalankan kegiatan ini,” ujarnya.

Tambahnya, kesemua suspek direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.