Itu perbuatan nekad seorang lelaki berusia 37 tahun selepas menikam leher teman wanitanya, D. Tharani, 35, di dalam kereta Honda City berwarna putih di tempat letak kenderaan sebuah pasar raya besar di Kota Damansara, di sini hari ini dipercayai akibat perselisihan faham.

Tindakan itu mengejutkan pegawai dan anggota bertugas di Balai Polis Damansara yang ‘menerima’ kedatangan suspek bersama mayat kekasihnya berusia 35 tahun pada kira-kira pukul 3 petang kerana dipercayai pertama kali berlaku.

Suspek yang bertugas di sebuah syarikat pengurusan kondominium di Kota Damansara dipercayai melakukan pembunuhan itu pada kira-kira pukul 1.30 petang.

Difahamkan, suspek telah memandu kereta dari pasar raya besar itu menuju ke balai polis tersebut sejauh kira-kira 10 kilometer bersama mayat mangsa yang berlumuran darah dan diletakkan di bahagian penumpang hadapan kereta.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohd. Zani Che Din berkata, selepas suspek menye­rah diri, pasukan Forensik dipanggil untuk melakukan pemeriksaan pada mayat dan kereta mangsa.

Menurutnya, pemeriksaan yang dilakukan mendapati mayat mang­sa lengkap berpakaian dengan kesan tikaman di leher dan satu senjata tajam yang dipercayai digunakan untuk menikam mangsa ditemukan di dalam kereta.

“Soal-siasat yang dilakukan terhadap suspek mendapati, dia dan mangsa sudah menjalinkan hubungan sejak dua tahun lalu dan mangsa bekerja di syarikat yang sama dengannya sebagai kerani,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ujar Mohd. Zani, pihaknya masih menyiasat motif pembunuhan, namun tidak menolak kemungkinan berkaitan masalah hubungan cinta.

“Mayat mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada kira-kira pukul 6.30 petang untuk bedah siasat. Suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh dan akan direman esok,” tambahnya.

Sementara itu, bapa mangsa, M. Devaraju, 67, berkata, mereka sekeluarga terkejut dengan kejadian yang menimpa anak bongsu daripada tiga beradik itu dan berharap suspek akan dikenakan hukuman setimpal.

Ujarnya yang menerima beri­ta kematian itu pada pukul 6 petang, beliau tidak pernah me­ngenali suspek yang mendakwa sebagai kekasih Tharani.

Kakak mangsa, D. Gunawati, 39, pula memberitahu, sepanjang pengetahuannya, adik bongsunya tidak mempunyai kekasih dan dia sering mengatakan mahu hidup membujang untuk menjaga ibu bapa yang sudah tua dan sakit.

“Rutin hariannya pulang ke rumah selepas habis kerja dan menghabiskan masa dengan empat ekor anjingnya,” katanya.