Video oleh AZRUL RADI

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, terdapat simbol tersebut di badan suspek ketika ditahan di sebuah rumah flat di Taman Cheras, di sini.

"Hasil risikan, pasukan Bahagian Jenayah Berat (D9), Ibu pejabat Polis Daerah Cheras telah membuat serbuan di rumahnya kira-kira pukul 8.10 malam.

"Ketika serbuan, suspek sedang mencukur rambut dipercayai cuba mengubah imejnya untuk mengelak daripada dikesan polis," katanya ketika ditemui dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Menurut Mazlan, hasil pemeriksaan dirumah suspek berjaya menemukan 19 buah telefon bimbit, pelbagai kad bank dan peralatan untuk melakukan jenayah pecah kenderaan.

Jelasnya, ujian air kencing terhadap suspek juga mendapati dia positif dadah jenis ekstasi dan syabu.

"Suspek juga mengaku terlibat dalam lapan kejadian ragut, samun dan pecah pejabat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sekitar daerah Cheras.

"Semakan rekod jenayah lampau mendapati suspek mempunyai empat rekod kesalahan iaitu mendatangkan kecederaan dengan senjata, samun berkawan serta memiliki dan mengambil dadah," jelasnya.

Tambah Mazlan, suspek kini direman selama tujuh hari hingga 25 Februari depan dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan. - UTUSAN ONLINE