Video oleh HAKIMI ISMAIL

Beliau ditahan kerana disyaki turut terlibat bersama tujuh Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) termasuk timbalan ketua pengarah bergelar Datuk menyalahgunakan wang tersebut untuk tujuan peribadi.

HASANAH ABDUL HAMID
HASANAH ABDUL HAMID

Hasanah, 61, dijangka direman di Mahkamah Putrajaya pukul 8.30 pagi esok.

Terdahulu, beliau ditahan pada pukul 4.45 petang ini selepas hadir untuk memberi keterangan di ibu pejabat SPRM Putrajaya.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi SPRM) Datuk Azam Baki mengesahkan penahanan Hasa­nah mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Dalam pada itu, sumber memberitahu, kesemua wang tersebut yang sepatutnya dibawa ke tempat lain selepas keputusan PRU-14 diumumkan, hilang dipercayai telah diambil.

“Setakat ini, SPRM telah menemukan bukti RM1.6 juta daripada jumlah wang yang diambil serta telah merampas semula separuh daripada nilai tersebut termasuk wang tunai lebih RM700,000, komputer riba dan empat jam tangan jenama Rolex.

“Siasatan sedang dijalankan untuk mencari wang tersebut yang jumlahnya lebih besar daripada RM1.6 juta,” katanya.

Jelas sumber, SPRM juga sedang melakukan siasatan untuk mencari pihak lain yang terlibat dengan penyelewengan wang itu dan dipercayai ada tangkapan lain akan dibuat.

Sementara itu di Putrajaya, Majistret Shah Wira Abdul Halim mengeluarkan perintah reman selama lima hari bermula hari ini sehingga Sabtu terhadap tujuh pegawai PTD berkenaan selepas SPRM mengemukakan permohonan di Mahkamah Majistret di sini.

Menurut sumber, kesemua suspek masing-masing menjawat Gred 44 sehingga Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) B dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Sebelum ini, sebanyak 17 pe­ngawal keselamatan JPM direman lima hari bermula 8 Ogos lalu kerana dipercayai terlibat dalam penyelewengan dana PRU-14 bernilai RM3.5 juta.

SPRM telah merampas wang tunai RM840,700 dan sembilan motosikal pelbagai jenama yang masing-masing berjumlah RM10,000.