Mereka dijanjikan dengan per­kongsian keuntungan selain pemberian imbuhan sebanyak RM2,000 setiap bulan selama setahun serta pulangan modal secara tunai kepada pelabur.


Video Oleh ROSMIZAN RESDI

Walau bagaimanapun, keba­nyakan mereka yang terdiri daripada pesara, guru serta usahawan terpaksa berputih mata apabila pelaburan yang dilakukan dengan nilai minimum RM50,000 sehingga RM200,000 setiap seorang tidak mendapat sebarang pulangan.

Seorang mangsa, Zakaria Awang, 50, berkata, pemilik res­toran ber­kenaan yang memperkenalkan skim tersebut pada 2014 bijak memanipulasi pelabur supaya mempercayai pelan perniagaan mereka.

Menurutnya, dia menyertai skim berkenaan melalui rakan dan te­lah melabur hampir RM70,000 bersama isterinya untuk perkongsian perniagaan ini, namun kesemua modal itu lesap begitu sahaja.

“Kami begitu yakin menyertai pelaburan ini apabila melihat pro­ses pembinaan restoran ber­kenaan berjalan seperti yang dijanjikan sehinggalah ia siap sepenuhnya.

“Namun, selepas restoran ini beroperasi, ia tidak seperti yang dijanjikan, malah pelbagai alasan yang diberikan oleh pemilik restoran berkenaan sehinggalah restoran itu ditutup pada 2016,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Tambah Zakaria, pihaknya tidak dimaklumkan mengenai penutupan restoran berkenaan dan sehingga kini, pemilik restoran itu masih gagal dihubungi.

Sementara itu, seorang lagi mangsa skim penipuan itu, Rohani Long Ahmad, 60, berkata, tiada apa yang diharapkan selain wang pelaburan yang dibuat arwah suaminya, Samsudin Mamat, 68, dipulangkan semula.

“Arwah memberitahu wang pencennya berjumlah RM50,000 sudah dilaburkan untuk restoran berkenaan.

“Namun, sehingga saat ini, saya tidak mendapat apa-apa pulangan dan saya sudah membuat laporan polis supaya tindakan diambil terhadap pengusaha ber­kenaan,” katanya.