Timbalan Ketua Pesuruhajaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, jumlah itu membabitkan wang tunai RM950,000 dan wang tunai AS$6.3 juta (RM25.9).

“Wang itu ditemukan di beberapa lokasi termasuk enam kondominium di sekitar Lembah Klang serta beberapa premis pejabat.

“Kita masih mencari baki wang kira-kira AS$5 juta kerana dipercayai jumlah keseluruhan wang diseleweng adalah AS$12 juta,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat SPRM di sini hari ini.

Menurut Azam lagi, seorang ahli perniagaan warga Malaysia merupakan individu kesembilan ditahan reman membabitkan kes tersebut.

Katanya, Mahkamah Majistret di sini hari ini telah mengeluarkan perintah reman tujuh hari setelah dia ditahan di Kelantan pada pukul 11 malam tadi.

Semalam, Hasanah direman lima hari sehinhh Ahad ini bagi membantu siasatan berhubung kes salah guna wang peruntukan dana kerajaan.

Hasanah ditahan kerana disyaki turut terlibat bersama tujuh Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) termasuk timbalan ketua pengarah bergelar Datuk kerana menyalahgunakan wang tersebut untuk tujuan peribadi.

Wanita itu ditahan pada pukul 4.45 petang selepas hadir untuk memberi keterangan di ibu pejabat SPRM Putrajaya pada Selasa lalu.

Mahkamah Majistret sama pada kelmarin juga

mengeluarkan perintah reman selama lima hari bermula hari ini sehingga Sabtu ini terhadap tujuh pegawai PTD berkenaan.

Menurut sumber, kesemua suspek masing-masing menjawat Gred 44 sehingga Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) B dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009. - UTUSAN ONLINE