Bagaimanapun, kegiatan tersebut terbongkar petang Rabu lalu apabila seikat daun ketum terjatuh di atas jalan berhampiran Kampung Batu Hitam, Tanah Merah dan ditemukan dua anggota polis trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah yang meronda di situ.

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 3.15 petang, dua anggota tersebut segera meminta bantuan sokongan sebelum sepasukan polis mengejar lori tiga tan jenis Isuzu dinaiki dua lelaki terbabit.

Katanya, polis terpaksa mengejar suspek yang enggan berhenti dan cuba memecut laju sejauh dua kilometer sebelum berjaya menahan mereka.

"Pemandu lori berusia 34 tahun manakala kelindannya merupakan seorang remaja lelaki berusia 19 tahun. Hasil pemeriksaan ke atas lori berkenaan, kita menemukan 120 bungkusan hitam mengandungi daun ketum seberat 2.5 tan.

"Nilai keseluruhan rampasan daun ketum ialah kira-kira RM75,000. Mengikut pasaran semasa, sekilogram daun ketum dijual pada harga RM30. Sementara itu, lori tiga tan tersebut dianggarkan bernilai kira-kira RM40,000," katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Azmi berkata, hasil semakan mendapati kedua-dua suspek tersebut mempunyai rekod lampau dan positif dadah masing-masing jenis methamphetamine dan benzodiazepine.

"Siasatan lanjut mendapati dua suspek ini mengaku dibayar upah sebanyak RM3,000 bagi satu perjalanan untuk mengambil daun ketum ini dari Sik, Kedah dan dibawa ke Pasir Puteh.

"Daun ketum ini dipercayai untuk pasaran Pasir Puteh dan polis menahan reman suspek selama empat hari sehingga 2 Disember mengikut Seksyen 30 Akta Racun 1952," katanya. - UTUSAN ONLINE