Video Oleh Nur Nazlina Nadzari

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata, walau bagaimanapun, hanya 193 laporan polis dibuat dengan jumlah kerugian sebanyak RM27.5 juta direkodkan sepanjang tempoh sama.

Menurut beliau, susulan laporan berkenaan, polis menahan enam suspek termasuk seorang bergelar Datuk Seri dan tiga bergelar Datuk pada 26 Januari lalu di lokasi berasingan di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Jelasnya, berdasarkan rekod, sebanyak 175 pelabur kerugian RM26 juta melalui pelaburan jongkong emas manakala enam lagi mangsa rugi sebanyak RM1.5 juta dalam pelaburan ‘oil bunkering’.

“Modus operandi sindiket ini adalah dengan menawarkan mangsa menyertai skim pelaburan emas dan ‘oil bunkering’ dengan dijanjikan pulangan lumayan. Pelaburan emas dijanjikan keuntungan dua peratus sebulan manakala ‘oil bunkering’ dijanjikan sebanyak 15 peratus sebulan.

“Selain itu, sindiket ini juga menggunakan kerabat diraja untuk memujuk pelabur-pelabur untuk melabur dalam skim mereka di samping mengadakan seminar di hotel-hotel dan pelaburan juga dikatakan mempunyai insurans bagi meyakinkan mangsa,” katanya pada sidang akhbar di Menara KPJ di sini hari ini.

Amar Singh berkata, polis sedang menyiasat sama ada seorang kerabat diraja yang dikaitkan dengan pelaburan tersebut terlibat secara langsung atau hanya dipergunakan oleh sindiket terbabit.

Jelasnya, suspek yang terlibat ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah dan polis turut merampas lapan kereta mewah membabitkan jenis BMW, Toyota Alphard, Mercedes-Benz, Bentley, Porsche Cayenne serta wang tunai sebanyak RM200,000,

Dalam perkembangan berasingan, Amar Singh memberitahu, pihaknya menahan seorang pegawai bank wanita berusia 53 tahun pada 23 Januari lalu kerana didapati terlibat dalam sindiket penipuan ‘African Scam’.

Jelasnya, wanita tempatan tersebut membenarkan akaun miliknya digunakan sindiket untuk mangsa memasukkan wang mereka.

“Hasil soal siasat dia terlibat dalam 10 kes sekitar negara ini dengan jumlah kerugian sebanyak RM203,000. Kesemua kes menggunakan modus operandi yang sama iaitu mangsa diperdaya dengan kata-kata manis oleh suspek melalui media sosial Facebook, WhatsApp dan Chit Chat.

“Mangsa kemudiannya dijanjikan hadiah sebagai tanda pengenalan dan kemudian seorang perempuan mengaku sebagai pekerja kargo atau syarikat penghantaran sebelum memperdaya mangsa membayar cukai barang dan perkhidmatan dan juga yuran penghantaran bungkusan tersebut,” ujarnya.

Hasil daripada tangkapan tersebut, pihaknya memberkas enam lelaki dan seorang perempuan warga Nigeria serta merampas beberapa peralatan yang dipercayai digunakan bagi tujuan penipuan seperti komputer riba, telefon bimbit dan modem.