Perintah reman sehingga 14 Oktober tersebut dikeluarkan terhadap ketiga-tiga lelaki berusia 29, 37 dan 44 tahun itu setelah tempoh reman terdahulu selama tujuh hari sejak Ahad lalu berakhir hari ini.

Majistret Majistret Ainul Bashiirah Dona Don Biyajid mengeluarkan perintah itu mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah di Mahkamah Majistret Seri Manjung dekat sini hari ini bagi membolehkan siasatan dilengkapkan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, ketiga-tiga suspek yang memakai baju lokap berwarna jingga dan ungu tiba di perkarangan mahkamah dengan menaiki trak pada pukul 8.50 pagi dengan diiringan anggota polis.

Mereka kemudian dibawa keluar semula menaiki kenderaan sama kira-kira sejam kemudian.

Bedah siasat yang dilakukan pada 30 September lalu di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh mengesahkan dua anggota TLDM yang berpangkat Laskar Kelas 1 meninggal dunia akibat pendarahan paru-paru berpunca daripada trauma tumpul.

Nik Muhammad Baihaqy Nik Mat, 28, dan Muhammad Lailatulman Mohd Sukri, 26, meninggal dunia ketika berada dalam bilik tahanan pada jam 3.15 petang, 29 September lalu.

Susulan itu, polis menahan ketiga-tiga anggota TLDM tersebut pada kira-kira 9.30 malam pada hari sama untuk membantu siasatan kes kematian dua anggota berkenaan. - UTUSAN ONLINE