Ketua Polis negeri, Datuk Rosli Abdul Rahman berkata, buruh berusia 19 tahun itu ditahan di rumahnya di Padang Jambu, Du­ngun kira-kira pukul 4.50 petang semalam susulan tiga laporan yang diterima.

Beliau memberitahu pembe­rita di sini hari ini, pihaknya turut merampas sebuah telefon bimbit bersama satu kad sim dan kad memori.

Katanya, remaja itu ditahan reman selama empat hari sehingga Ahad mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998; Seksyen 41 Akta Hasutan serta Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

“Kita masih tidak mengetahui motif sebenar suspek menyatakan hal demikian bagaimanapun, soal siasat yang dilakukan mendapati dia mengaku menulis komen tersebut dalam sebuah kumpulan FB anak negeri Isnin lalu.

“Polis masih mengesan seorang lagi rakan FB suspek yang menggunakan nama Ibnu Asrul Fahmi yang dikesan turut membalas komen tersebut dengan kenyataan berunsurkan penghinaan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.


Video oleh AZLAN BAHARUM

Yang turut hadir Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Wan Abd. Aziz Wan Hamzah.

Dalam perkembangan lain, Rosli berkata, polis menangkap lima lelaki berusia antara 20 hingga 40 tahun dipercayai ah long, di sebuah kedai di sini petang kelmarin susulan laporan yang dibuat oleh seorang wanita yang mendakwa diugut agar membayar hutang.

“Mereka dipercayai berasal dari Johor dan datang ke sini untuk mengutip wang sebanyak RM1,000 yang dipinjam pengadu.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951. Tahun ini, polis menerima lima laporan mengenai pinjaman wang tidak sah ini,” katanya.