Video oleh Md. Azrin Rosly

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, mangsa, Sim Lian Yung, 52, difahamkan cuba mengelak ketulan batu yang mengelongsor lalu terjatuh ke curam setinggi hampir lima meter ketika menghampiri puncak.

Menurut Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Tiong Ling Hii berkata, pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau telah menerima maklumat daripada Pusat Gerakan Operasi (PGO) kejadian tersebut pada pukul 10.25 pagi tadi.

Katanya, seramai 30 pegawai dan anggota BBP Bau dibantu unit 'Multi Skill Team' (MUST Team) serta Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) digerakkan bagi menyelamatkan mangsa.

"Mangsa telah mula dibawa turun pada pukul 3 petang dan tiba di kaki gunung dalam tempoh dua jam 30 minit.

"Pasukan yang dihantar memang mempunyai kepakaran dalam menyelamat mangsa di kawasan tinggi cuma cabaran di sini agak sukar namun dengan kemahiran dan semangat pasukan berjaya membawa turun mangsa dengan selamat," katanya
ketika ditemui pemberita di kaki Gunung Sebua di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, pasukan bomba turut dibantu polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk setempat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Mohd. Sabri Zainol memperingatkan pendaki agar melaporkan diri kepada balai polis berdekatan dan juga komuniti di sini seperti ketua kampung sebelum melakukan pendakian.

Katanya, perkara itu bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku disamping nasihat berkaitan dapat diberikan kepada kumpulan berkenaan.

Sementara itu, saksi kejadian, Chan Teck Loong, 42, memberitahu, kejadian berlaku ketika mangsa dan dua lagi rakannya cuba mengelak batu yang bergerak ke bawah.

"Dua pendaki berjaya mengelak ke arah pokok bagaimanapun mangsa ke arah curam menyebabkan dia terjatuh ke bawah.

"Kami kemudian menghubungi bomba bagi mendapatkan bantuan. Kebetulan terdapat seorang jururawat antara 16 pendaki yang membantu menenangkan mangsa sebelum pasukan penyelamat tiba," jelasnya. - UTUSAN ONLINE