Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohamad Bakri Hassan, 41, Tan Ya Loon, 36 dan Wong Kam Choy, 53, selepas mereka membuat pengakuan bersalah setelah pertuduhan dibacakan.

Mohamad Haldar turut memerintahkan kesemua tertuduh menjalani hukuman penjara tambahan 12 bulan sekiranya gagal membayar denda.

 Ya Loon membayar denda tersebut manakala Mohamad Bakri dan Kam Choy terpaksa berada lebih lama dipenjara kerana gagal melunaskannya.

Berdasarkan pertuduhan, Mohamad Bakri  didakwa memberi suapan RM300 kepada seorang pengawas hutan sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas lori miliknya yang membawa muatan beberapa batang kayu bulat pelbagai spesies kerana tidak memiliki pas pemindahan hasil hutan dan tidak bercukai.

Peniaga kayu itu dituduh melakukan kesalahan tersebut di Lot No. 3966, Kampung Sungai Lerek, Setiu pada pukul 3.45 petang, 6 Julai tahun lalu.

Ya Loon pula didakwa memberikan suapan RM500 kepada seorang pengawas hutan sebagai dorongan tidak mengambil tindakan ke atas kayu bulat pelbagai spesies yang tidak memiliki pas pemindahan hasil hutan dan tidak bercukai di kilangnya.

Tertuduh yang juga merupakan pengurus kilang kayu itu didakwa melakukan kesalahan itu di Lot 10714, Sungai Nilam, Hulu Nerus Setiu kira-kira pukul 4.15 petang, 28 Ogos tahun lalu.

Kam Choy, seorang tauke balak pula didakwa memberi suapan RM1,000 kepada seorang penolong pegawai hutan sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan undang-undang bagi kesalahan dibawah Seksyen 68 Akta Perhutanan Negara 1984 kerana memiliki balak-balak yang tidak mempunyai tanda pengkelasan dan tidak bercukai.

Kam Choy dituduh melakukan kesalahan itu di Mukim Kijal, Kemaman pada pukul 1.30 tengah hari pada 8 Jun tahun lalu.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Farah Yasmin Salleh manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.- UTUSAN ONLINE