Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Dzulkifli Ahmad sebaliknya memberi jaminan bahawa pihaknya akan melindungi serta merahsiakan identiti para pengadu yang tampil mendedahkan amalan tidak bermoral itu supaya siasatan dan tindakan tegas dapat diambil berlandaskan peruntukan undang-undang yang ada.

"SPRM ini merupakan agensi yang mewakili rakyat Malaysia. Jika ada isu rasuah dan salah guna kuasa berlaku, maka SPRM lah tempat yang mereka boleh harapkan dan bergantung.  

"Kita amat mengalu-alukan mana-mana pihak atau orang perseorangan tampil membuat sebarang laporan atau menyerahkan maklumat berkaitan dengan salah laku itu. Mereka tidak perlu takut kerana laporan dan maklumat yang disalurkan kepada SPRM adalah tertakluk kepada kepada kerahsiaan dan kita akan melindungi nama dan identiti setiap pemberi maklumat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas bersama-sama Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Datuk Ahmad Ishak dan Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk M. Saedon Ab. Majid mengadakan 'walkabout' atau lawatan sempena Program Jimat Belanja Dapur (JBD) di Tapak Pasar Tani Seksyen 13, di sini hari ini.

Program JBD merupakan inisiatif yang dilaksanakan FAMA bagi membantu pihak kerajaan mengurangkan maslaah kenaikan harga barang sekaligus meringankan beban kos sara hidup rakyat menerusi pengurangan harga bahan makanan pada kadar lima hingga 20 peratus.

Dalam pada itu,  Dzulkifli turut memaklumkan sehingga kini pihaknya mempunyai lebih 150,000 keahlian Gerakan Revolusi Anti Rasuah (Gerah) di seluruh negara menerusi kempen galakan masyarakat membanteras amalan salah laku itu.

Jumlah itu katanya dijangka akan terus meningkat pada masa depan menerusi kerjasama daripada pelbagai pihak meliputi agensi kerajaan, syarikat-syarikat swasta serta pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO). - UTUSAN ONLINE.