Dalam kejadian pukul 2.40 petang di hadapan Pasar Raya Mydin Taman Saga di sini, pada 30 Disember lalu, seorang wanita terjatuh dan cedera akibat diragut dua lelaki bermotosikal.


Mangsa kemudian dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah di sini.


Berikutan itu, berdasarkan laporan polis yang dibuat abang mangsa dan siasatan, anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri telah menyerbu sebuah kawasan di Kampung Tambak Bunga, Jalan Kilang Tebu di sini semalam, dan menahan seorang lelaki.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mior Farid Al Athrash Wahid berkata, polis merampas sebuah telefon bimbit beserta dua keping kad sim daripada lelaki berkenaan yang disyaki telah dibeli daripada seorang lelaki.


“Susulan itu, polis menahan seorang lagi lelaki di Kampung Telok Kechai serta merampas barangan bukti berupa kemeja T, seluar jeans, dua buah motosikal dan dua buah topi keledar.


“Tangkapan ketiga dan keempat pula dilakukan di sebuah sekolah agama di Kampung Sawa Kechil dan sebuah madrasah di Kampung Tok Keling, Derga di sini. Seorang daripadanya yang merupakan pelajar kemudian mengaku melakukan ragut di Pasar Raya Mydin pada 30 Disember lalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.


Kata beliau, identiti kesemua yang ditahan masih dalam siastan dan polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan ketika melakukan samun.


“Polis turut mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang menyalurkan maklumat sehingga tertangkapnya individu dikehendaki,” katanya. - UTUSAN ONLINE