Bekas banduan berusia 25 tahun itu yang baru dua minggu dibebaskan dari penjara melakukan jenayah tersebut berseora­ngan.

Modus operandi suspek ialah memerhati sasaran sebelum mengekori mangsa yang menaiki motosikal dan apabila mereka berhenti di lampu isyarat, suspek terus bertindak.

Bagaimanapun kecekapan polis berjaya memberkas suspek pada 6 Januari lalu di Pangkalan Asam di sini.

Menurut Ketua Polis negeri, Datuk Azisman Alias, suspek yang menggunakan motosikal yang dipinjam daripada seorang rakannya melakukan jenayah samun itu bermula pukul 7 pagi, melibatkan mangsa berumur antara 17 tahun hingga 39 tahun.

Ujarnya, hasil risikan dan siasatan polis selepas itu, lelaki tersebut ditahan keesokan hari­nya di sebuah kawasan di Pangkalan Asam di sini kira-kira pukul 7 petang.

“Hasil soal siasat, suspek mengaku melakukan jenayah tersebut seorang diri. Suspek juga mempunyai lima rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan curi. Suspek yang dipenjara tahun lalu sebenarnya baru sahaja dibebaskan dari penjara pertengahan Disem­ber lepas.

“Saringan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah. Lelaki tersebut direman tujuh hari sehingga 13 Januari depan,” katanya dalam sidang akhbar selepas perhimpunan bulanan bersama Ketua Polis Perlis di pekarangan Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini hari ini.

Tambah Azisman, kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

“Dengan tertangkapnya suspek tersebut, kita berjaya menyelesaikan kes berkaitan samun di kawasan Padang Besar. Suspek mungkin melakukan jenayah itu di kawasan lain sekiranya masih bebas,” katanya.