Suspek yang berumur 22 dan 23 tahun ditahan kira-kira pukul 4 pagi oleh pasukan polis Cawangan Pencegahan Jenayah dari Balai Polis Sri Muda, Seksyen 25 dekat sini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, hasil tangkapan itu sebanyak 89,680 batang rokok pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM89,000 turut dirampas selain wang tunai sebanyak RM1,750.

"Ketika serbuan, kedua-dua suspek sedang memunggah rokok dari kereta mereka untuk di bawa naik ke sebuah rumah kedai di kawasan terbabit.

"Serbuan turut dilakukan di rumah terbabit dan hasilnya kita berjaya menemukan lebih banyak rokok seludup," katanya dalam sidang akhbar di Balai Polis Sri Muda di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Baharudin memberitahu, pihaknya percaya suspek telah melakukan aktiviti menjual rokok seludup sejak empat bulan lalu.

"Rokok-rokok ini akan dijual kepada egen sebelum dijual kepada kedai-kedai runcit di sekitar Sri Muda.

"Punca bekalan mereka bagaimanapun masih dalam siasatan tetapi rokok-rokok ini dipercayai diseludup dari Indonesia," ujarnya.

Tambah beliau, keduia-dua suspek kini direman sehingga 18 November ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1963 dan Seksyen 135(1) (d) Akta Kastam 1967. - UTUSAN ONLINE