Serbuan kira-kira pukul 9 malam itu dijalankan Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu pejabat Polis Kontinjen Selangor dan Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang diketuai Inspektor Yap Ket Hua.

Pegawai Turus D7 Selangor, Deputi Superintenden Norhizam Bahaman berkata, premis berkenaan dipercayai menjadi pusat pengiraan bagi kegiatan perjudian online untuk pemain dari luar negara.

“Sindiket ini menerima pertaruhan di sini daripada pemain luar negara dan antara kegiatan judi yang dijalankan adalah bookie bola serta kuda loteri kasino.

“Kita turut merampas 13 unit komputer riba, lapan unit telefon bimbit dan empat unit modem,” katanya ketika ditemui di sini.

Tambah Norhizam, kesemua yang ditahan dibawa ke IPD Kajang untuk disiasat mengikut Seksyen 6 (3) Akta Pertaruhan 1953 dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63. - UTUSAN ONLINE