Video Oleh MASZUREEN HADZMAN

Bagaimanapun taktik tersebut digagalkan selepas Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman merampas syabu seberat 143.15 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM10 juta dalam serbuan berasingan di Sela­ngor dan Melaka.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, serbuan yang dilakukan kelmarin dan semalam itu berjaya menahan enam individu termasuk ke­tua sindiket serta dua wanita dengan seorang daripadanya warga Thailand.

Menurut beliau, dalam serbuan pertama pada kira-kira 11.20 malam, pihaknya menahan seorang lelaki berusia lingkungan 30-an di Jalan Bukit Kajang, Selangor dan menyerbu sebuah rumah kedai di Jalan Tun Abdul Aziz, Kajang sebelum me­nemukan 120 bungkus dadah dianggarkan seberat 127 kg.

“Serbuan kedua di sebuah kondominium di Taman Sri Gombak menahan dua lelaki masing-masing berusia 50-an bersama seorang wanita warga Thailand berusia 30-an yang menemukan 11 bungkus serta empat bekas dadah jenis syabu seberat 12.8 kg,” kata­nya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah Kajang dekat sini hari ini.

Mohmad memberitahu, pi­hak­nya membuat satu lagi serbuan di Bukit Pulau, Melaka dan menahan seorang wanita.

Beliau berkata, dalam serbuan itu pihaknya merampas sepucuk pistol, dua kelopak peluru bersama 90 butir peluru hidup dengan tiga bungkusan dadah seberat 25 kg manakala seorang lelaki berusia 50-an ditahan dalam serbuan terakhir di Klebang.

Katanya, sindiket yang aktif sejak beberapa tahun lalu itu dipercayai memperoleh kesemua dadah tersebut dari negara jiran sebelum menyimpannya di premis di beberapa lokasi.

Kesemua suspek direman sehingga 5 April ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952.