Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata, rampasan pil kuda itu merupakan yang terbesar di negeri ini sejak lima tahun lalu.

Menurutnya, kedua-dua suspek yang berusia lingkungan 35 tahun telah ditahan dalam rumah berkenaan kira-kira pukul 2 pagi.

Ujarnya, hasil siasatan mendapati suspek bukan merupakan peneroka Felda sebaliknya bekerja sebagai penyelia dan peniaga.

“Mereka juga tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau tetapi hasil saringan air kencing mendapati kedua-dua­nya positif dadah jenis amphetamine,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.


Video oleh SYEFRY MONIZ MOHD. NIZAR

Dalam pada itu, Hasnan mengakui siasatan polis antara lain kini tertumpu untuk mencari punca utama di sebalik pe­nemuan pil kuda tersebut dalam kuantiti besar di negeri ini.

Beliau berkata, perkara itu berikutan bilangan dadah yang dirampas sebelum ini kecil iaitu melibatkan 3,246 biji pil pada 2015 diikuti oleh 2,591 pada tahun 2016 tetapi melonjak kepada 180,000 biji dalam kes kali ini.

“Biasanya pil kuda diimport atau diseludup dari negara jiran dan tidak pernah dihasilkan di Malaysia,” katanya.

Ekoran tangkapan itu katanya, kedua-dua suspek telah direman selama tujuh hari sehingga 17 April ini bagi mengenal pasti ahli-ahli sindiket lain mahupun mereka yang terlibat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dikenakan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.